Thursday, May 9, 2013

Agama Membina Rantaian Cinta Sempurn


Bagi membina cinta dalam lingkungan agama, kita tidak lari dari membicarakan persoalan iman. Iman adalah sumber segala perkara sebagaimana disebutkan oleh Hamka, sebagai sumber kekuatan hati dan sumber keindahan pada penglihatan mata. Kesempurnaan islam terdiri dengan panduan yang jelas dan tersusun. Begitu juga dalam menguruskan rasa cinta, islam memberi garis panduan asas bagi memlihara dan medidik cinta supaya terus membesar dengan sempurna, dalam keindahan. Manusia sentiasa mencari agama bagi mendapatkan jawapan. Persoalan persoalan cinta juga ada dalam agama. Iman menyebabkan hidup mempunyai maksud dan tujuan itu. Iman menimbulkan cita-cita bagi memperolehi ganjaran dan pahala atas pekerjaan yang dilaksanakan. Tidak beriman bermaksud tidak mempunyai pendirian dan berlaku penyelewengan sewenang-wenangnya kepada manusia.

Bagaimana sekiranya pelaku mempunyai tujuan dalam bercinta? Bukankah pelaku itu berasa lebih bermakna dan bernilai daripada terus mengikut arus semata-mata dan membiarkan dir terdampar dimana sahaj? 

Iman menjadi tiang yang kukuh untuk cinta berdiri atas pendirian dan tidak goyah dengan sikap songsang manusia yang cenderung mempermainkannya. Cinta dalam diri dapat terus bertahan dengan kekuatan dan sintiasa indah dalam pandangan hidup selagi iman masih bernyawa dalam diri.

Nafsu tidak menyukai kerendahan hati, malah membenci kekurangan. Sekiranya tidak kerana iman, nafsu lebih bermaharajalela, aptah lagi dalam membawa cinta. Cinta tanpa iman bertukar menjadi cinta nafsu. Diri mudah berasa serba kekurangan. Kekurangan dalam diri pasangan dilihat sebagai kehinaan. Kemudian, diri mencerca kembali kekurangan itu, dan bukannya belajr daripadanya.

Cinta berpayungkan iman meletakkan manusia supaya bertanggungjawab mengiringi rasa hati, kerana ia akan dipertanggungjawabkan kelak. Agama dalam konteks cinta membawa tiga sifat yang timbul bersama apabila diserap dalam kehidupan.

Perasaan Malu
Malu sangat besar pengaruhnya dalam membina dasar cinta yang kuat. Apabila digandingkan dengan akal, perasaan malu menjadikan manusia yang bercinta enggan mendekatkan rasa cinta kepada perbuatan tercela.

Amanah dalm membina perhubungan
Herbert Spencer menyatakan, hidup itu adalah perhubungan antara manusia. Manusia tidak dapat hidup sendiri. Manusia perlu mempertalikan dirinya apabila berhubungan dengan orang lain. Cinta menghubungkan ikatan antara dua manusia yang berbeza. Namun tali itu perlu diikat dengan rasa amanah. Amanah menguatkan rasa percaya dan jujur sesama pasangan. Amanah juga menimbulkan rasa yakin kepada orang yang dicintai, tidak ragu-ragu sekiranya berada jauh dan sentiasa berasa selamat dengan ikatan jiwa yang dibina bersama.

Sentiasa benar dalam menguruskan rasa cinta
Kebenaran sentiasa membimbing rasa cinta supaya terus diatas titannya. Langkah yang tersasar dapat dipimpin semula tanpa dibiar leka, walaupun sesaat. Kebenaran sentiasa membantu rasa cinta supaya terus bangkit dalam derita tanpa menawarkan apa jua bentuk kepalsuan yang sekadar memberi kelegaan sementara.